Friday, 2 December 2011



CONTOH   BACAAN  TAHUN 1
Kucing Anita

        Anita ada seekor kucing. Nama kucing Anita Mimi. Kucing Anita sangat cantik. Bulunya berwarna keperang-perangan dan ekornya panjang.


        Mimi kucing yang jinak. Makanan kegemaran Mimi ialah nasi, ikan dan susu. Seminggu sekali, Anita memandikan Mimi supaya badannya bersih dan berbau wangi.


        Setiap petang, Anita akan membawa Mimi bersiar-siar di taman permainan. Anita sangat sayang akan Mimi.




















 






Melawat Zoo
              Pada minggu lalu, bapa membawa Lili dan keluarganya melawat ke Zoo Negara. Mereka pergi ke sana dengan menaiki kereta. Perjalanan mereka mengambil masa selama dua jam.


              Banyak pengunjung melawat ke Zoo Negara. Di Zoo Negara, Lili dapat melihat banyak haiwan yang jarang ditemui. Antaranya gajah, beruang, zirafah, ular dan banyak lagi.


              Lili berasa sangat seronok kerana dapat melihat berbagai-bagai jenis haiwan di Zoo Negara. Lili juga sempat mengambil gambar sebagai tanda kenangan.




















 








 Memancing Ikan

              Pada hari Sabtu yang lalu, bapa membawa Yusri memancing ikan di sungai. Sungai itu terletak di belakang rumah mereka.


              Yusri membawa sebatang joran dan sedikit umpan cacing. Dia sudah tidak sabar hendak memancing ikan.


              Cuaca pada hari itu sangat panas. Yusri dan bapanya duduk di bawah sebatang pokok yang rendang. Tidak lama kemudian, joran Yusri mengena. Yusri mendapat seekor ikan sepat yang besar.


              Pada pukul 2.00 petang, mereka pun pulang ke rumah. Yusri dan bapanya berasa sangat gembira kerana mendapat ikan.














 







             
Harijadi Siva



              Hari ini hari jadi Siva. Siva menjemput kawan-kawan ke rumahnya. Ibu Siva bercadang mengadakan majlis hari jadi untuk Siva.


              Ramai kawan Siva datang ke rumahnya. Mereka membawa pelbagai hadiah. Mereka mengucapkan selamat hari jadi kepada Siva.


              Ibu Siva telah menyediakan makanan yang lazat. Ada nasi ayam, mi goreng, kuih-muih dan kek. Ibu Siva menyusun makanan tersebut di atas meja.


              Kawan-kawan Siva bertepuk tangan sambil menyanyikan lagu “Selamat Hari Jadi”. Kemudian, mereka makan makanan yang telah disediakan. Siva berasa sangat gembira.